KUALA LUMPUR, 22 OKT 2010:
Selain dari filem-filemnya
yang sentiasa meninggalkan kesan di hati penonton, satu lagi cabang seni
yang menjadi medan untuk Seniman Agung Negara, Tan Sri P.Ramlee
menyerlahkan bakatnya adalah menerusi bidang muzik.
Sama ada dari segi nyanyian dan penciptaan lagu, P.Ramlee telah punm
membuktikan bakat serta kebolehannya yang sanghat luar biasa. Malah, P
Ramlee juga boleh menyanyi, bermain muzik, mencipta lagu, dan
menyusun/mengarah muzik.
Karya muzik P.Ramlee merangkumi pelbagai aspek irama dan genre yang
ada. Tidak kisah sama ada lagu itu adalah dendangannya sendiri atau
hasil nyanyian penyanyi lain, lagu-lagunya sentiasa kedengaran kreatif
dan segar.
Daripada lagu berbentuk perayaan seperti Selamat Hari Raya dendangan
Ahmad Jais, lagu islamik seperti Rukun Islam, lagu Joget Malaysia yang
menerapkan unsur patriotik, lagu kerakyatan seperti Joget Si Pinang
Muda, semuanya telah dieksperimentasikan oleh P.Ramlee.
Karya P.Ramlee tidak bosan untuk kita mendengarnya, bahkan indah
kedengaran di telinga kita. Pembawaan suaranya menggema merdu,
lagu-lagunya membawa irama manis. Menjadi nyanyian dan siulan umum.
Terkenalnya lagu-lagu itu bertambah terpuja nama P.Ramlee sebagai
bintang filem dan sebagai biduan.
Tidak mustahil sehingga ke hari ini pelbagai versi nyanyian semula
telah dihasilkan. Namun, tetap versi asli juga yang menjadi pilihan
pendengar kerana mungkin keaslian suara atau susunan muzik itu yang
meninggalkan kesan mendalam.
Berikut adalah sebahagian antara lagu-lagunya yang jarang kita
diperkatakan, namun mempunyai melodi terindah yang menyebabkan kita
terpesona mendengarnya.
1) Malam Bulan Di Pagar Bintang
Lagu ini didendangkan oleh watak Ramli dan Rose dalam filem Pendekar
Bujang Lapok sewaktu Ramli menemani Rose yang menjahit seluarnya yang
terkoyak ketika latihan silat. Senario yang lucu, namun bait-bait indah
dan romantik menyebabkan kita lupa seketika akan jalan cerita file mini
yang sepatutnya lucu. P.Ramlee bijak mengubah perasaan kita dari ingin
ketawa kepada hanyut terkenang indahnya percintaan
2) Sedangkan Lidah Lagi Tergigit
Satu lagi permainan jiwa di mana senario lucu diubah menjadi suasana
romantik. Abdul Wahub dan isterinya, Ghasidah diarahkan bapa mertua
untuk tidur di kandang kuda. Namun itu tidak menghalang suami isteri ini
dari mencurahkan kasih sayang antara satu sama lain. Lirik lagu yang
menyentuh hubungan rumah tangga serta penuh dengan nasihat ini adalah
sebagai tanda tolak ansur di antara Abdul Wahub dan isterinya yang
sebelum ini 'menjual mahal' antara satu sama lain.
3) Ya Habibi Ali Baba
Dendangan irama timur tengah, diadunkan dengan lirik penuh unsur lucu
dan bodek, susunan muzik yang mengasyikkan, kena pula dengan babak
menari oleh Ali Baba yang sedang berhibur dengan saudagar minyak tanpa
mengetahui sahabat barunya itu adalah seorang ketua penyamun. Tidak
termasuk lagi bait-bait akhir lirik di mana ketua penyamun bersyair:
Celaka.......punya penyamun, sial! Bikin rosaklah ana punya
program......Mungkin sudah ada pembaca yang ketawa menahan perut ketika
ini.
4) Ketipang Payong
Lagu ini sangat jarang diberi perhatian, namun dibawah sedar. Semua
tahu akan lagu ini malah akan bersiul-siul apabila mendengarnya.
Dendangan Rahmah Rahmat sebagai penari istana ketika majlis pertabalan
Pak Belalang sebagai Ahli Nujum Negara. Tidak lupa babak di antara
Puteri Si Bujur Sireh dan dayangnya yang ditimpa perasaan kononnya dia
lebih sepadan dengan Pak Belalang.
5) Nenek Nenek
Tidak dipastikan sama ada ini adalah lagu rakyat atau lagu ciptaan
P.Ramlee, kerana ketika artikel ini ditulis, lagu ini dibawah senarai
lagu ciptaan seniman agung ini. Apa yang pasti, lagu ini mudah melekat
pada diri kita kerana iramanya yang merdu. Watak Puspawangi ketika
bermain bersama rakan-rakannya, kemudian tersalah pilih dan terkena pada
Tun Nila Utama antara detik pertemuan hero dan heroin yang menjadi
pengasas adengan klise pelbagai genre filem selepas eranya.
6) Ubat
Tak disangka, lagu yang dinyanyikan tiga sekawan Do, Re dan Mi sewaktu
menipu pengguna untuk membeli ubat mereka mempunyai irama yag apa
katakan pada zaman moden ini sebagai catchy. Terngiang-ngiang di kepala
kita akan melodi lagu ini serta terfikir, sejenis material seperti ubat
pun mampu dijadikan lagu oleh P.Ramlee.
7) Aduh Sayang
Lagu ini didendangkan dalam filem Ragam P.Ramlee. Filem muzikalnya yang
menghimpunkan pelbagai lagu yang tak pernah ditampilkan dalam filem
lain. Video muzik menyaksikan dua watak P.Ramlee yang bertemu satu sama
lain kemudian hairan melihat watak yag satu lagi. Liriknya menceritakan
dilemma seorang pemuda yang gila bayang pada masa yang sama gadis
idamannya itu sudah dikebas orang.
Begitulah sebahagian dari lagu yang menjadi pilihan dalam artikel ini.
Seperti biasa jika bercakap mengenai karya P.Ramlee, berkajang-kajang
kertas pun belum tentu dapat menghuraikan sepenuhnya. Tak lapok dek
hujan, tak lekang dek panas...itulah antara pepatah yang sesuai
mengambarkan karya malar segar seniman agung ini.
No comments:
Post a Comment