Tuesday, 15 May 2012

Konsep 1 Malaysia di dalam Filem P. Ramlee

Baru- baru ini, admin ada mengunjungi satu blog yang menceritakan tentang konsep 1 Malaysia yang diaplikasikan dalam kebanyakkan file P. Ramlee. Di sini admin akan sertakan post tersebut. Selamat Membaca!

SATU MALAYSIA: VISUALISASI DALAM FILEM P. RAMLEE
Sebuah filem menjadi agong dan mendapat sanjungan serta kekal di sanubari audiens adalah kerana menggauli pelbagai kaum di dalamnya. Jalinan dan ayaman perwatakan pelbagai kaum sesebuah filem mendarjatkannya sebagai karya masterpiece. Sebuah karya masterpiece disenangi dan dipuja oleh audiens berbagai keturunan dan sasarannya. Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tidak secara langsung mengangkat filem sebagai aset milik negara, malah semua bangsa menganggap filem P. Ramlee sebagai khazanah filem mereka, kerana penampilan mereka menyumbang bakti perkembangan filem Melayu.


Filem: Bujang Lapok
Tugas P. Ramlee menyatupadukan semua bangsa dalam filemnya, ternyata berkesan sehinggakini. Buktinya tayangan yang berulangan memukau semua bangsa tanpa jemu. Justeru, memperpaduankan semua bangsa dalam filem, P. Ramlee ternyata berjaya dan beliau sudah dianggap menjadi pemimpin masyarakat dengan caranya sendiri. Slogan “Satu Malaysia” turut berputik dalam pemikiran filemnya. Antara filem yang menerapkan nilai perpaduan secara sinis ialah “Gerimis” yang dibintangi kaum India iaitu Chandra Shanmugam, V.I. Stanley dan beberapa lagi. Paparan watak dalam lakonan tersebut sangat berkesan memperlihatkan perkahwinan campur di antara orang India dengan orang Melayu. Di peringkat awal kelihatan ada tentangan, tetapi akhirnya perkahwinan mereka direstui apabila memperolehi pertalian darah iaitu anak. Begitu juga dalam filem Sesudah Subuh, menampilkan watak-watak masyarakat majmuk seperti, Juliana, Vera Wee, Hoow Thye Chong, H.S.Gill, Sivapakiam Dhramal linggam dan V. I. Stanley. Begitu juga dalam filem Sergeant Hassan, seperti; Capt. John Gray R.M.R, Capt. David Downe R.M.R dan beberapa lagi.


Filem: Pendekar Bujang Lapok
Menyatupadukan watak-watak berbilang bangsa dalam filemnya adalah tugas yang rumit dan sangat besar. Walaupun Allahyarham tidak mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang perfileman tetapi boleh mengatasi mereka yang memiliki ijazah bidang tersebut dalam pembikinan filem. Isu yang ingin diutarakan di sini, ialah perpaduan sememangnya telah lama bertapak dalam jiwa orang Melayu, dan P. Ramlee memasukkan elemen-elemen perpaduan dalam filemnya kerana peranan mereka menegakkan kekuatan filem tersebit sehingga diminati pelbagai bangsa. Hampir semua filemnya mencapai tayangan boxoffice bukanlah daripada sokongan orang Melayu seratus peratus, sebaliknya semua bangsa.


Memetik sebuah filem P. Ramlee memaparkan pelbagai bangsa dipertaruhkan untuk menegakkan perpaduan dalam nada dialognya. Umpamanya, dalam filem “Seniman Bujang Lapok” dalam babak ketika Ramli, Sudin dan Aziz ingin mintak kerja menjadi pelakon. Berikut sorotan dialognya: Kata Ali; “Ini macam punya muka mahu jadi filem star ka?” Jawapan Singh, bersahaja; “Lu pun satulah! Baru orang mintak kerja lu macam-macam cakap. Apa macam lu punya bangsa mahu maju?” Ali terasa disindir dan terus menjawap untuk menutup kelemahannya. Ali: “Allah, Singh lu bahasa sama gua nampak ni, Singh”. Singh: “Bukan bahasa. Lu punya nasib lu makan, dia punya nasib dia makan. Apa salah kita makan sama-sama”. Dialog tersebut menggambarkan betapa. bangsa lain perihatin kehidupan sejagat yang memperlihatkan nada perpaduan dan toleransinya.


P. Ramlee mewarnai peribadi gemilangnya setelah tidak ada di alam maya. Hampir semua filem Melayu, Allahyarham tetap menyumbang karyanya walaupun beliau tidak berlakon. Karyanya mencakupi semua aspek seperti senikata lagu, melodi, cerita, lakonlayar, nyanyian, gubahan musik dan arahan. Gelaran seniman Agong terangkat sendiri dengan karya berbisanya dalam semua katogeri itu. Gelarannya bukan sekadar diterimanya tetapi melekat di sanubari peminatnya. Tidak ada pengarah lain sehebatnya yang boleh melakukan serba-serbi menghasilkan karya filem.


Filem P. Ramlee merupakan multimedial narrative memperlihatkan segala sudut persembahan di mata audiens. Mata audiens tertumpu setiap mise en scene yang digarap dalam sesebuah filem. Sesebuah filem menjadi dayatarikan mengarahkan perhatian audiens melihatnya sebagai satu dunia lain yang perlu dimergertikan. Dari sudut falsafah, filem mempunyai teras penceritaan tersendiri memisahkannya daripada genre sastera seperti novel yang menumpukan pengertian dalam bentuk prosanya. Namun, kebahasaan dalam multimedial naratifnya turut menjadi tarikan tersendiri yang kekal dalam pengucapan dialog dan perwatakan.



Filem: Antara Dua Darjat
Filem P. Ramlee menggarap grand argument dalam pemikirannya dan ditaburkan dalam rencah permasalahan perpaduan “Satu Malaysia” dengan perwatakan dan penceritaannya. Perwatakan dan perceritaan ini menakhodakan kisah yang ditalimali dengan pelbagai isu selari dengan masalah semua kaum seperti dalam filem “Seniman Bujang Lapok”, Ramli dapat menyelesaikan pembalahan di antara suami-isteri berketurunan India yang bergaduh di waktu subuh cuma hanya menghadapi masalah remeh iaitu mengenai najis anak mereka. Begitu juga perkahwinan campur dalam filem Gerimis yang tidak disenangi oleh semua kaum. Tetapi hakikatnya sememang berlaku dalam kehidupan realiti yang dapat diterjemahkan oleh P. Ramlee dalam paparan yang cukup menarik sehingga dapat menyatukan keluarga ini dalam keharmonian setelah menerimanya sebagai satu falsafah kehidupan iaitu perpaduan adalah dimestikan. Ertinya, P. Ramlee secara tidak langsung menerapkan nilai perpaduan masyarakat “Satu Malaysia” digambarkan dalam filemnya sebagai karya masterpiece. Karya masterpiecenya tidak hanya ditontoni, malahan dikaji dan diteliti ke akar umbi kesan pengajaran daripadanya. Kita bukan bermaksud mengangkat karyanya berlebih-lebihan, tetapi secara telus dan jujur sememang tidak ada karya sezaman dengannya dan mutakhir dapat menandinginya, apalagi menyainginya.


Allahyarham berjaya memperpaduankan rakyat Malaysia duduk bersama-sama menonton karyanya, walaupun di mana mereka berada. Semua bangsa tinggal di Malaysia mengenali P.Ramlee dan mereka tetap menontoni filemnya walaupun sering diulangtayang. Ini adalah kesan penerapan nilai perpaduan di dalam filem yang sangat merakyat sifatnya, sehingga beliau seringkali digambarkan sebagai hero perfileman dunia Melayu yang tidak ada tolok bandingannya.


Jika filemnya mempunyai versi bahasa Inggeris dan dapat ditontoni oleh negara luar terutama mazhab hollywood, barangkali P. Ramlee dikenali seluruh dunia. Sudah tentu karyanya turut dikaji dan diperbahaskan di menara gading luar negara, sehingga namanya berdiri sama tinggi dengan pengarah agong sebagaimana D. W. Griffith, Sergey Eisenstein, Mizoguchi Kenji, dan beberapa nama hebat dalam bidang perfileman.


Pengukuran kepakaran P. Ramlee dan filemnya bukanlah dari segi sambutan tayangan box officenya, tetapi pemikiran, persoalan dan falsafah yang dipaparkan dalam karyanya cukup bertembungan dengan kehidupan manusia sejagat. Hampir kesemua filemnya bertitik tolak daripada pelbagai aspek kehidupan sosio budaya, ekonomi, kebudayaan yang merangkumi adat dan falsafah kehidupan bermasyarakat. Filem-filemnya yang memenangi anugerah, kesemuanya bersendikan historical poetics kehidupan masyarakat berbilang bangsa dan keturunan.


Dalam artikel yang serba ringkas ini tidak dapat dinyatakan secara total filem-filemnya yang menyangkutkan isu-isu perpaduan iaitu masalah sosialisasi rakyat Malaysia, namun kita dapat merenungi ketajaman fikirannya yang sangat kehadapan. Walaupun, Allahyarham tidak meninggalkan harta kekayaan untuk diwarisi keturunannya, tetapi masyarakat semua mewarisi pendidikan dalam filemnya. Sebagaimana yang dilakukan oleh Sergey Eisenstein, beliau seorang pengarah dan guru iaitu mendidik manusia dengan filemnya. Justeru, slogan “Satu Malaysia” sebenarnya telah diasimilasikan dalam kehidupan masyarakat Malaysia melalui filem tanpa kita sedari yang mana bertembungan dan sangat relevan dengan idea YAB Perdana Menteri kita yang dikasihi turut mempunyai pemikiran yang jauh dan terkehadapan. Tahniah.


Sesungguhnya, kesempurnaan seseorang melakukan kerja-kerja seninya merupakan satu ibadah. Allahyarham pernah berkata; kerja seni adalah kerja Allah, oleh itu perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab. Itu adalah unggapan beliau apabila mengaitkan kerja-kerja seni dengan pembabitannya dalam dunia perfileman. Keikhlasan beliau dalam menghasilkan filemnya, dipamerkan dalam setiap kisah masyarakat sebagai cerminan sebenar masyarakat Malaysia hidup dalam suasana harmonis dan perpaduan erat sebagaimana pepatah Melayu: ibarat aur dan tebing, kuku dan isi, peha kanan tercubit, peha kiri turut terasa. Justeru, bulat air, kerana pembentung, bulat kata, kerana bermaufakat.




♦ ♦ ♦ ♦ ♦ ♦
Nama sebenar ialah Hj. Abdul Rahman bin Hj. Ahmad Hanafiah, Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi MARA, UiTM. Setekat ini beliau telah mentranskripsi filem P. Ramlee sebanyak 40 judul. Bahan tersebut adalah untuk kajian dan penyelidikannya bagi ijazah Doktor Falsafah. (Konsep Satu Malaysia amat luas pengertiannya, namun dalam artikel ini cuma menggaitkan dalam elemen perpaduan kaum sahaja.)
copy n paste dari blog wiramanja.blogspot.com

 

No comments:

Post a Comment